KOTA KINABALU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih 100 kilogram dadah jenis methamphetamine atau syabu dianggarkan bernilai RM3.36 juta yang disembunyikan dalam bungkusan serbuk pencuci di Pelabuhan Sepanggar, di sini, Rabu lalu.
Rampasan kira-kira jam 5 petang itu dilakukan pegawai dan anggota JKDM dari Cawangan Narkotik, Unit Operasi Penguatkuasaan, Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) Sabah.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, ia adalah rampasan terbesar di Sabah dan dilancarkan hasil maklumat risikan sebelum membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor.
Katanya, kontena berkenaan mengandungi barangan campur dan hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena itu, sembilan kotak disyaki mengandungi dadah, ditemui.
“Pemeriksaan lanjut ke atas sembilan kotak itu menemui sejumlah dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat kasar 101.951 kilogram dianggarkan bernilai RM3,364,383,” katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan, Sepanggar, di sini, hari ini.
Zazuli berkata, semua syabu yang ditemui, dibungkus dengan sebuah jenama serbuk pencuci, namun taktik itu gagal mengaburi pihak berkuasa.
Selain dadah, kotak berkenaan juga mengandungi serbuk pencuci dipercayai bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.
Katanya setakat ini tiada tangkapan dibuat, namun usaha mengesan pengirim atau penerima barangan terlarang berkenaan sedang dilakukan berdasarkan alamat yang tertera iaitu di sebuah kondominium di Likas.
Zazuli berkata, modus operandi bagi kes ini adalah mengedarkan dadah menggunakan kontena dan memasukkan dadah berkenaan dalam bungkusan serbuk pencuci dan dagangan diikrar sebagai serbuk cucian.
“Seterusnya barangan akan dicampur dengan barang lain dalam kontena ‘Less than Container-Load’ (LCL),” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori atau penjara seumur hidup.
Sementara itu, beliau berkata, setakat 25 Julai 2023, JKDM Zon Sabah merampas 122.91 kilogram dadah bernilai RM7.66 juta, tidak termasuk rampasan yang diumumkan hari ini.
“Ia membabitkan 103.17 kilogram (kg) methamphetamine dianggarkan bernilai RM3,857,920.84; 10.09 kg ganja (RM54,226.90); serta 9.65 kg ketamin dan ekstasi (RM382,443.80).
“Turut dirampas 631.77 kg ketum dianggarkan bernilai RM6,289.31,” katanya.