Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusoff berkata mereka dihantar pulang dengan menggunakan pengangkutan laut MID EAST EXPRESS NO.1.
“Program ini melibatkan pemindahan tahanan warganegara Indonesia iaitu seramai 124 orang dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tahanan yang dihantar pulang terdiri 106 lelaki, 14 wanita dan 4 kanak-kanak.
PATI yang diusir sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan.
Katanya, kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen telah melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
“Oleh itu, semua warga asing adalah diingatkan untuk memastikan mereka mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan untuk bekerja di negeri Sabah, terlebih dahulu sebelum masuk ke negara ini.
“Setiap majikan juga turut diingatkan agar bertanggungjawab dengan memastikan pekerja yang digaji mempunyai dokumen dan Pas Kerja yang sah untuk diambil bekerja,” katanya.
Menurut beliau, mereka yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang negara pasti akan dikenakan tindakan tegas selaras dengan perundangan sedia ada.
Ini kerana semua agensi penguatkuasaan di seluruh negeri Sabah akan bersama-sama melakukan operasi penguatkuasaan secara berterusan dari masa ke semasa.