LABUAN: 2 remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar memancing ikan di perairan Kiamsam di sini, pagi semalam, ditemukan mati lemas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, dua remaja lelaki terbabit yang dikenali Yasin Johnar berusia 20 tahun berbangsa Bajau dan Mohammad Shah berusia 19 tahun berbangsa Suluk telah keluar ke laut di sekitar persisiran pantai Kiamsam dengan menaiki sampan kira-kira 6.00 pagi semalam dan dilaporkan tidak pulang ke rumah.
Laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa dan penduduk kampung membantu mengesan kedua-dua mangsa berkenaan, namun gagal.
Nudin berkata Maritim Malaysia, Zon Maritim Labuan mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan dua remaja lelaki berkenaan sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu, semalam.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Kastam, Kiamsam
untuk mengkoordinasikan operasi CARILAMAT bersama agensi sahabat dan komuniti
maritim.
“Bot Kilat 40 milik Maritim Malaysia telah ditugaskan untuk ke lokasi kejadian bagi
pencarian awal.
“Kawasan pencarian meliputi keluasan 4 batu nautika persegi di sekitar perairan pantai Kiamsam.
“Aset agensi sahabat dan komuniti maritim yang terlibat membantu adalah daripada Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
(JBPM) dan nelayan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, PHC melaporkan penemuan mayat pertama pada kedudukan 0.5 batu nautika dari Pantai Kiamsam sekitar pukul 5.20 petang semalam.
Manakala lokasi penemuan mayat kedua pula kira-kira 10 meter dari lokasi penemuan
mayat pertama pada pukul 5.22 petang.
Kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan dan dibawa oleh pihak JBPM ke PHC.
“Keluarga mangsa telah dihubungi bagi proses pengecaman dan kedua – dua mayat telah dibawa oleh pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
“Maritim Malaysia ingin menggesa orang awam untuk sentiasa menjaga keselamatan dengan memakai jaket keselamatan apabila keluar ke laut kerana dapat menyelamatkan nyawa jika berlaku kecemasan.
“Sebarang maklumat mengenai kejadian salah laku, kecemasan atau kemalangan di laut boleh disalurkan ke talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.