410 Premis/Rumah Diperiksa Dalam Op Bersepadu Di Sandakan


KOTA KINABALU: Sebanyak 772 orang dan 410 premis/rumah diperiksa di sekitar Sandakan sepanjang pelaksanaan Operasi Bersepadu (OB) bagi tempoh 25 hingga 31 Januari lalu.

Komander Eastern Command (KEC) Datuk Hamzah Ahmad berkata, daripada pemeriksaan yang dilakukan seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, nilai rampasan yang terlibat dalam operasi tersebut adalah RM16,951. Barang rampasan yang paling banyak adalah batang kayu jenis tangar bulat serta barangan terkawal yang lain.

Katanya, operasi memotong sambungan elektrik secara haram turut dijalankan sekitar lokasi tersebut.

Beliau berkata, pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus giat kordinasikan misi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan PATI di Sandakan.

Katanya, operasi tersebut bertujuan untuk mengesan dan menangkap PATI dengan mensasarkan lokasi dikenal pasti sebagai penempatan PATI di sekitar daerah ini yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat khasnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Seramai 81 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Majlis Perbandaran Sandakan dan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB).

Hamzah berkata, selaras dengan moto iaitu Bersama-sama Menjana Kesejahteraan, ESSCOM beriltizam akan terus mempergiat operasi seumpama ini bagi mengekang sebarang elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam.

Justeru, ESSCOM menyeru seluruh masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *