Anak yatim, asnaf terima sumbangan Puspanita Kuskop, Tekun Nasional

KAJANG, SELANGOR: 50 anak yatim dan asnaf dari pusat pendidikan dan kebajikan Pertubuhan Warisan Suci Sg. Merab di sini telah menerima sumbangan daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Sumbangan tersebut telah disampaikan sepanjang lawatan pertama Penaung Puspanita yang baru, Datin Connie Parantis ke rumah kebajikan tersebut, yang berlangsung baru-baru ini.

Dalam ucapan beliau pada majlis tersebut, Connie menyatakan harapannya agar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan terus dilaksanakan untuk membantu lebih banyak golongan yang memerlukan, serta mendapatkan perhatian dan pembelaan dari pihak kerajaan.

“Saya sangat menghargai usaha ini kerana ia bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada kanak-kanak di pusat kebajikan ini, tetapi juga turut membantu mengurangkan beban pengurusan pusat ini,” ujar beliau.

Beliau juga berharap agar inisiatif baik ini akan terus diperkasa dan diperluaskan pada masa depan.

Connie menyatakan, acara seperti ini memberikan peluang kepada anggota Puspanita Kuskop untuk menjalin hubungan lebih rapat dan memperkuatkan silaturahim dengan anak-anak yatim.

“Tahniah kepada Puspanita Cawangan Kecil TEKUN Nasional atas kejayaan melaksanakan program ini,” ucap beliau.

Kunjungan dan sesi ramah mesra ke Rumah Anak-Anak Yatim Pertubuhan Warisan Suci, Sg. Merab Selangor ini telah dianjurkan oleh Puspanita Cawangan KUSKOP bersama dengan Biro Kebajikan, Puspanita Cawangan Kecil Tekun Nasional.

Hadir juga dalam acara tersebut adalah Pengerusi PUSPANITA Cawangan KUSKOP dan Biro Kebajikan, Puspanita Cawangan Kecil TEKUN Nasional, Nora Mat Ail.

Sumbangan dalam bentuk barang-barang keperluan harian untuk kanak-kanak berumur empat hingga lima tahun telah disumbangkan oleh warga kerja TEKUN Nasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *