Memetik laporan Free Malaysia Today, Anwar berkata, PH telah mengadakan suatu persefahaman dengan wakil rakyat lain, dan gabungan itu sudah meraih ‘majoriti’.
“Majoriti bermaksud lebih daripada 111.
“PH ialah pakatan besar…faham tiada parti yang memperoleh majoriti mudah, memerlukan beberapa proses perbincangan bagi pembentukan kerajaan,” katanya pada sidang media PH hari ini.
Anwar bagaimanapun enggan menjawab pertanyaan wakil-wakil rakyat terbabit daripada parti mana, kerana beliau hanya boleh bercakap bagi pihak PH.
Beliau berkata dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN boleh membentuk kerajaan adalah mustahil.
“(Kita) cakap tentang fakta. Kalau khabar angin, perlu tanya Muhyiddin,” katanya.
Ditanya sama ada PH bekerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Anwar sekadar berkata, beliau menyambut baik perkara itu, “tapi tak boleh cakap banyak pasal perkara ini”.