Beri Sokongan Kepada Presiden Untuk Bangkit Perkasakan UMNO


KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Siti Aminah Aching mengajak anggota parti di semua peringkat sama ada di akar umbi, bahagian dan negeri, untuk mendukung usaha yang dilakukan oleh kepimpinan pusat untuk menyelesaikan masalah menurunnya sokongan kepada UMNO/ (Barisan Nasional) BN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Katanya, mendesak Presiden untuk berundur belum tentu dapat menyelesaikan  masalah.

Selain itu, pihak lawan dikhuatiri akan mengambil kesempatan daripada suara desakan itu untuk terus menabur presepsi dan naratif  kepada rakyat bahawa UMNO kini berada dalam kedudukan  yang lemah dan ini seterusnya  boleh memberikan kesan kepada parti.

“Atas dasar ini, kita berharap  kepada kepimpinan negeri, bahagian serta akar umbi bahawa sokongan harus diberikan kepada kepimpinan pusat  khususnya institusi  Presiden untuk terus memperkasakan parti” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini kelmarin.

Menurut Siti Aminah yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, kesatupaduan antara pemimpin pusat serta anggota di peringkat negeri, bahagian dan cawangan adalah penting bagi memastikan parti ini terus kukuh.

Ini kerana UMNO akan berhadapan dengan peperangan yang lebih besar lagi iaitu Pilihan Raya Raya Umum (PRU) ke 16 akan datang.

Katanya, kesiapsiagaan UMNO dalam menghadapi PRU-16 adalah lebih penting, atas sebab itu UMNO perlu mempunyai kesatuan yang kukuh dalam semua saf kepimpinan parti.

“Kita akan berhadapan dengan PRU yang lebih besar pada masa akan datang, justeru tugas ahli parti bukan sahaja memberikan ‘roh’ dan semangat, tetapi juga perlu diisi dengan tindakan taktikal yang dapat menjamin kemenangannya” tegas Aminah.

Sehubungan dengan itu jelas Ahli Parlimen Beaufort itu, semua pihak dalam UMNO harus berhenti menunding jari antara satu sama lain dan tidak melayani sebarang desakan yang meminta Zahid untuk meletakkan jawatannya di mana kebanyakan desakan itu datangnya dari pihak di luar UMNO.

“Masanya sudah tiba untuk kita berpaut kembali, melihat kelemahan atau kesilapan dan memperbaiki tindakan dan pendekatan yang lebih baik dan berkesan demi kelangsungan perjuangan parti keramat ini,” tambah Siti Aminah.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *