Bot Nelayan Bawa 1,600 Liter Petrol Tanpa Permit Sah Ditahan Maritim Malaysia


KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan sebuah bot nelayan yang membawa muatan barang kawalan bersubsidi tanpa permit sah, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak atas maklumat risikan yang diterima pihaknya ketika melaksanakan rondaan Op Pluto Timur di sekitar perairan Kudat, bot berkenaan berjaya dikesan dan diperiksa di kedudukan lebih kurang 0.6 batu nautika timur muara Marina Kudat sekitar jam 1.20 pagi.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, didapati tiga individu yang mengendalikan bot berkenaan terdiri daripada seorang warga tempatan sebagai tekong manakala dua lagi adalah warga Filipina, berusia 34 hingga 46 tahun.

Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 80 tong berwarna biru disyaki mengandungi minyak petrol dianggarkan sebanyak 1600 liter, dibawa bot berkenaan tanpa permit yang sah.

Kesemua suspek bersama bot dan barang rampasan seterusnya ditahan dan dibawa ke jeti untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM100,000.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan bersubsidi dengan niat untuk melakukan kesalahan dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.

Berikutan kejadian berkenaan, pihak Zon Maritim Kudat memohon kepada masyarakat khususnya komuniti maritim untuk membantu pihak agensi dengan melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *