Bung Yakin! Calon Kerajaan Perpaduan Akan Ungguli Kejayaan Di PRN Selangor


GOMBAK : Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Bung Moktar Radin optimis gandingan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mampu menguasai Selangor untuk membentuk kerajaan dengan kemenangan melebihi majoriti dua pertiga.

Katanya tidak banyak isu yang boleh dimainkan oleh pihak lawan iaitu Perikatan Nasional (PN), kerana jika mereka menyentuh mengenai soal pembangunan, Selangor adalah antara negeri yang termaju di negara ini dan kemajuan ini telah mula dilaksanakan dan digerakkan sejak BN dan PH menerajui kerajaan negeri Selangor.

“Kalau mereka (PN) bercakap soal kemajuan, semua orang akui kemajuan Selangor, jadi pihak PN hanya akan mainkan isu sentiman perkauman yang hanya menakut-nakutkan pengundi Melayu Islam, satu isu kempen yang tidak sehat yang boleh memecah belahkan perpaduan kaum dan boleh membantutkan usaha membangunkan negara” katanya ketika ditemui selepas mengiringi calon -calon kerajaan Perpaduan BN PH bagi kerusi DUN N17 Gombak Setia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari BN, calon DUN N16 Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari dari PH dan calon DUN N18 Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli dari PH ke Pusat Penamaan Calon di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu di sini, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden UMNO Datuk Johari Ghani turut menyertai ribuan penyokong PH BN ke pusat penamaan tersebut.

Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, pada PRN kali ini, rakyat Selangor perlu memilih calon-calon dari PH dan BN agar kerajaan negeri yang dibentuk selepas PRN kelak adalah sebuah kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Pusat bagi meneruskan agenda kemakmuran dan kestabilan politik khususnya di negeri Selangor.

“ Kita di Sabah sebelum ini mempunyai pengalaman apabila kerajaan negeri tidak sehaluan dengan Kerajaan Pusat, banyak perkara yang akan membawa kerugian kepada rakyat terutamanya dari segi agihan peruntukan dan ini turut membantutkan usaha untuk membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat” tegas Bung.

Mengenai jentera BN dari Sabah yang ditugaskan membantu calon-calon BN/PH yang dianggarkan seramai 450 orang, Bung yang juga Pengerusi BN Sabah berkata sebilangannya sudah berkampung di Semenanjung dan agihan tugas telahpun diberikan dimana setiap dua bahagian akan membantu seorang calon khususnya calon-calon BN yang bertanding pada PRN kali ini.

“Jentera kita akan bergerak dan berkempen dengan pendekatan yang sesuai dengan situasi setempat, kita akan fokus kepada perpaduan kaum, pengalaman keharmonian hubungan pelbagai kaum di Sabah akan kita kongsikan bersama dengan pengundi di sini “ katanya.

Bung berkata jentera BN Sabah juga akan mengguna pakai aplikasi strategi baharu (tanpa mendedahkan) untuk membantu calon calon BN/PH dalam PRN kali ini dan jika pendekatan itu berkesan dan memberikan keputusan yang positif, ianya akan digunakan pakai oleh BN Sabah bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *