PETALING JAYA: Tindakan lebih berat dikenakan bagi jenayah melibatkan penyeludupan hidupan liar iaitu denda sehingga RM1 juta dan penjara tidak melebihi 15 tahun berkuat kuasa hari ini.
Sebelum ini, kesalahan bawah Seksyen 51 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 itu memperuntukkan denda RM500,000 dan penjara tidak melebihi 10 tahun.
Dalam kenyataan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata peningkatan penalti bagi kesalahan menyeludup hidupan liar perlu kerana ia adalah jenayah serius dikategorikan sebagai jenayah terancang berskala besar merentasi sempadan negara.
“Peningkatan penalti dan tempoh pemenjaraan bersifat mencegah bertujuan memastikan hidupan liar terus kekal bagi generasi akan datang,” menurut kenyataan itu.
Jabatan Perhilitan turut mengumumkan penguatkuasaan 44 seksyen bawah akta berkenaan.
Seiring dengan penguatkuasaan pindaan akta itu, Jabatan Perhilitan akan meneruskan operasi bersepadu membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Kastam, serta NGO.
“Penguatkuasaan juga diperkukuh dengan pelantikan tentera veteran, Orang Asli dan orang awam sebagai renjer hidupan liar dalam membantu menangani isu pencerobohan dan pemburuan haram,” katanya.