Isu Air : Jangan Susahkan Rakyat – Uda Sulai


KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah digesa untuk menyelesaikan masalah catuan air yang tidak mengikut jadual yang telah ditetapkan pada Notis Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) untuk beberapa kawasan di Putatan.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Uda Sulai, secara purata, bekalan air dicatukan selama 14 hingga 20 jam sehari, tidak seperti notis JANS dari 9 malam hingga 5 pagi (8 jam) sahaja.

Kawasan yang terjejas adalah seluruh Ketiau, Kampung Tombovo, Kampung Lembising, Kampung Lemposu, Taman Ketiau, Kingfisher Apartment, PPR Keramat, PPR Serigai dan Kampung Serigai.

Selain itu, kawasan Perindustrian Lembising, di mana terdapat banyak kilang-kilang, turut terjejas teruk.

“Kita memahami bahawa kerajaan sedang berusaha keras untuk mengatasi isu air di seluruh Sabah tapi tolong pantau jadual catuan JANS.

“Biasanya air akan ditutup pada jam 7 pagi dan hanya akan dibuka semula antara 10 malam hingga 5 pagi, setiap hari.” kata Pemangku Ketua Bahagian Parti Warisan Putatan itu.

Beliau sependapat dengan lebih 5,000 penduduk yang terjejas bahawa bekalan air harus dibuka semula sekurang-kurangnya jam 7 malam bagi memberi mereka masa yang mencukupi untuk menyimpan bekalan air.

“Ramai pengguna, terutama sekali penjaja dan peniaga makanan dan minuman, mengadu kepada saya yang mereka terpaksa berjaga sepanjang malam untuk memastikan air dilepaskan semula oleh JANS.

“Kalau terlepas, alamatnya mereka akan kehabisan stok air pada keesokan harinya kerana bekalan akan ditutup semula pada jam 7 pagi.” tambah Uda.

Selain itu, Uda turut ingin mengambil perhatian pihak kerajaan berkenaan tekanan air yang rendah di beberapa kawasan sekitar Petagas.

Situasi ini sudah berlarutan hampir sebulan dan menjejaskan lebih 10,000 pengguna sekitar Petagas.

Tekanan air rendah akan menyukarkan penduduk salurkan air ke tangki simpanan air terutama mereka yang tinggal di apartment atau flat.

Bekas Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah itu turut mengesa keprihatinan ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah khususnya Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah bagi memastikan jadual yang lebih mesra pengguna dapat digunakan oleh JANS.

“Saya seakan tiada mendengar masalah air di Putatan ini ada dibangkitkan di persidangan Dewan Undangan Negeri
(DUN) Sabah baru-baru ini.

“Maka itu, saya gunakan saluran media untuk panjangkan isu ini agar pihak kerajaan dapat selesaikan secepat mungkin.

“Jangan susahkan rakyat kerana mereka adalah pelanggan kepada JANS yang membayar bil air,” tegas Uda.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *