Jangan Cerita Soal Nombor, Shafie Beritahu Hajiji


KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mengingatkan Datuk Seri Hajiji Noor bahawa kemelut politik yang berlaku ketika ini bukan mengenai bilangan sokongan.

Beliau berkata, walaupun Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menyatakan mempunyai 44 sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun, ada antara mereka merupakan ADUN UMNO dan ada juga dari Warisan.

“Kalau dia ada nombor (sokongan), kita pun ada nombor jadi, tak payah cerita pasal nombor. Kalau kira akuan bersumpah (SD), semua pun ada SD.

“Tak payah cerita pasal nombor (sokongan), mana ada kerajaan boleh dibentuk jika Ketua Menterinya tidak mempunyai parti,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, kemelut politik yang berlaku sekarang bukan lagi mengenai siapa yang mempunyai majoriti mahupun akuan bersumpah.

“Jika ikut Perlembagaan Negeri Sabah, mana ada kerajaan boleh dibentuk, Ketua Menterinya tidak mempunyai parti. Apa parti dia? Dia cakap tengah cari, minggu hadapan baru ada parti.

“Dalam Perlembagaan Negeri jelas menyebut parti politik yang menang majoriti iaitu parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16. GRS tidak bertanding, yang bertanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jadi apabila Perikatan Nasional (PN) keluar. PN/Bersatu hilang kelayakan sebab mana ada ketua parti (GRS) bertanding dalam PRN-16,” jelasnya.

Menurut Mohd Shafie, bilangan yang diperoleh Hajiji itu ada daripada UMNO dan juga Warisan.

Tambah beliau, semasa menjadi Ketua Menteri Sabah, usul undi percaya mengenai sokongan terhadapnya telah dilakukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan beliau menang dengan sokongan dua pertiga ADUN.

Pada PRN Sabah, Warisan bersama blok pembangkang mempunyai 32 kerusi DUN dan Warisan telah bertanding 29 kerusi termasuk enam kerusi yang ditandingi oleh DAP yang bertanding di bawah tiket Warisan.

Kini, Warisan masih lagi parti tunggal yang memiliki jumlah terbesar iaitu 19 kerusi DUN.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, jika dilihat Akta Anti Lompat Parti telah dilaksana di Kuala Lumpur namun di Sabah, anti lompat belum dilaksanakan.

“Jadi, kena lihat amalan yang sepatutnya maka, sekiranya kita menghalalkan lompat-melompat adakah tindakan itu selari dengan di peringkat Persekutuan,” katanya.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *