KKM tawar 4,914 jawatan tetap bermula hari ini –


PUTRAJAYA: Kerajaan setuju menambah sebanyak 4,914 jawatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM) tahun ini bagi tujuan melantik seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata lantikan bagi perjawatan tetap tambahan itu akan dibuat bermula hari ini.

“Iklan akan dibuka mulai bermula hari ini sehingga 21 Januari ini.

“Sehubungan itu, saya berharap calon yang layak mengisi permohonan dan mengemukakan segera maklumat lengkap dan betul,” kata ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2023 KKM.

Sebahagian kalangan doktor kontrak berdepan masalah dilantik ke jawatan tetap sejak sekian lama sebelum ini, yang menjurus kepada mogok besar-besaran di seluruh negara, pada Jul 2021, bagi menuntut hak sama seperti pegawai perubatan lantikan tetap.

Dalam pada itu, Zaliha berkata suntikan vaksin virus papilloma manusia (HPV) kepada murid perempuan Tingkatan 1 akan bermula pada tahun ini.

Beliau berkata pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan pada 2021 berikutan gangguan bekalan vaksin HPV di peringkat global.

Bagaimanapun, beliau berkata KKM pada Disember 2022 telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin HPV dan kini vaksin tersebut telah pun berada di lapangan.

Sementara itu, Zaliha mencadangkan pengarah kesihatan negeri meneliti semula keperluan klinik kesihatan berhampiran yang di bawah seliaan masing -masing beroperasi secara ‘extended hour’.

Beliau berkata langkah itu bagi mengatasi masalah kesesakan dan menunggu lama di hospital dan klinik kerajaan.

“Langkah ini (juga) boleh mengalihkan pelanggan/pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik tersebut dan bukan lagi di Jabatan Kecemasan Hospital (ED).

“Pengarah Hospital pula hendaklah memastikan pembukaan perkhidmatan baharu segera dilaksanakan apabila kelulusan jawatan/sumber manusia tambahan disertakan dengan kelulusan peruntukan kewangan,” katanya.

Mengenai Covid-19 pula, Zaliha berkata beliau akan menerangkan langkah tambahan bagi mengatasi peningkatan jangkitan kes itu pada Selasa ini.

“Kita sebenarnya akan jemput media pada Selasa ini untuk menerangkan segala perkara-perkara yang salah tanggapan dan salah fahaman tentang Covid-19,” katanya.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *