Enam individu tersebut iaitu Rosdi Rastam, 44, Dennis Anak Enit, 44, Fabian Anak Rungam, 43, Khairul Azman Bakar, 47, Mohd Azlan Sakaran, 39, dan seorang orang awam Vivien Fabian, 34 didakwa membunuh Nurman Bakaratu, 61, yang merupakan seorang pemandu e-hailing.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 7.30 malam hingga 11.30 malam bertempat di ladang kelapa sawit berhampiran Jalan Anjur Juara, Jalan Apas Batu 5, dekat sini pada 13 Januari lalu.
Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama, yang memperuntukan hukuman mati.
Dalam pada itu, seorang pegawai kanan polis, Datuk Mat Zaki Md Zain, 58, didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan bersubahat dengan kesemua enam tertuduh untuk membunuh mangsa, Nurman Bakaratu pada hari, masa dan lokasi yang sama.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman mati.
Walau bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan dihadapan Majistret Dzul Elmi Yunus.
Bagi tiga lagi individu berkaitan dengan kes sama dipohon bon jaminan untuk hadir sebagai saksi pendakwaan iaitu orang awam, Shim Vui Nyen dan dua anggota polis Usman Lanaga dan John Kennedy Sanggah.
Majistret menetapkan jaminan masing-masing RM20,000 untuk dua saksi polis manakala RM10,000 bagi saksi awam.
Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad bersama Khairul Azreem Mamat, Muhammad Ilmami Ahmad, Rohaoza Abdul Rahman dan Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.
Sementara itu, tertuduh Rosdi diwakili peguam Timothy Daud dan Kamarudin Mohmad Chinki, manakala tiga peguam Chen Wen Jye, Ram Singh, Kimberly Ye mewakili Khairul Azman.
Mahkamah menetapkan 11 April sebagai sebutan semula kes dan kesemua tertuduh tidak ditawarkan ikat jamin.