TUARAN, 18 November – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Bahagian Tuaran mengisytiharkan menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Panglima Madius Tangau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Pengisytiharan itu diumumkan Ketua Bahagian PEJUANG Tuaran, Ariffin Dzulkiflee, 50, semasa kempen PH di PDM Tuaran Bandar, di sini, pada Khamis.
Menurutnya, turut bersama beliau ialah seramai 3,675 ahli PEJUANG di seluruh Tuaran.
“Ia termasuklah ahli-ahli di DUN Tamparuli, Sulaman dan DUN Pantai Dalit.
“Kita mengambil keputusan untuk menyertai PH bagi sama-sama memperjuangkan nasib rakyat dalam platform yang tepat,” katanya ketika ditemui media.
Terdahulu pada 9 November lalu, Ketua PEJUANG DUN Kiulu, Lotimin Lindud, 50, telah mengumumkan perletakan jawatan dan mengisytiharkan menyokong PH bersama 10 Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Penyertaan tersebut sekali gus menyebabkan Parti PEJUANG Bahagian Tuaran dengan secara rasminya terbubar.
Sementara itu, Madius menyambut baik penyertaan tersebut dan menyifatkan ia sebagai salah satu petanda kebangkitan rakyat dalam memerangi salah guna kuasa dan amalan rasuah.
“Kuasa kini di tangan rakyat, marilah kita turun beramai-ramai turun mengundi untuk menyelamatkan Malaysia sekali gus mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri yang ke-10,” katanya.