Pelatih PDK Berjaya Hasilkan Tanaman Salad Hidroponik


KOTA KINABALU: Hasrat melihat pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Putatan berdiri atas usaha sendiri memberi keyakinan kepada petugas PDK untuk memulakan projek tanaman salad hidroponik bermula awal tahun ini.

Projek yang diusahakan sepenuhnya oleh pelatih PDK yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU) dewasa itu ternyata berhasil apabila semaian pertama pada Isnin berjaya mengeluarkan 204 pokok salad.

Penyelia PDK Putatan, Noraina Mad berkata, seramai 10 pelatih dewasa terlibat secara langsung mengusahakan tanaman salad hidroponik ini dengan bimbingan petugas-petugas di sini.

Beliau berkata, idea mengusahakan tanaman salad itu timbul selepas mereka mengadakan lawatan ke tapak tanaman hidroponik di Beringgis dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahang sebelum ini.

Bagi menyahut saranan 1PDK 1Produk maka, PDK Putatan tampil sebagai PDK pertama di Sabah menghasilkan tanaman salad hidroponik.

“Untuk semaian pertama ini, ia mengambil masa selama 40 hari untuk satu kitaran yang menghasilkan 204 pokok salad.

“Separuh daripada salad-salad yang dihasilkan telah dibeli oleh ibu bapa pelatih dan juga masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, petugas PDK Putatan, Nuryasilah Mohd. Yahya, 35, berkata, pada peringkat awal mereka memperoleh geran daripada Jabatan Pertanian Negeri untuk membina rumah hijau yang dilengkapi dengan sistem hidroponik dan baja yang memerlukan kos sebanyak lebih RM7,000.

Namun, selepas ini, mereka akan menggunakan keuntungan jualan yang diperoleh untuk membeli benih dan baja bagi meneruskan tanaman salad hidroponik tersebut.

Sekiranya proses tanaman ini berterusan dalam tempoh empat bulan maka, kesemua pelatih yang terlibat dalam projek ini boleh memohon elaun bekerja daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang berjumlah RM450.

“Sedikit sebanyak elaun yang diperoleh boleh menampung perbelajaan harian pelatih kerana ketika ini mereka hanya menerima elaun OKU sahaja,” katanya.

Menurut Nuryasilah, mereka merancang untuk membekalkan salad ke pasar raya berhampiran namun, kuantiti salad dikeluarkan tidak cukup menampung permintaan di pasaran.

Tambah beliau, PDK Putatan turut mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan derma daripada orang ramai untuk membantu menjalankan aktiviti pelatih di PDK berkenaan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *