Penunggang Motosikal Maut Di Jalan Papar Lama


PAPAR: Seorang penunggang motosikal maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan lain di KM 13, Jalan Lama Papar di laluan Lebuhraya Pan Borneo pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, lelaki berusia 57 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati, kereta Nisaan Almera yang dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menghala ke Kampung Padawan.

Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba muncul dihadapan kenderaan tersebut.

Memandangkan keadaan jalan agak licin akibat hujan dan motosikal itu berada hampir dengan kereta, pemandu kereta tersebut tidak sempat mengelak dengan menekan brek lalu melanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke tengah jalan manakala, motosikalnya tercampak ke parit di sebelah kiri jalan dan kereta tersebut turut terbabas ke parit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar. Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kamaruddin berkata, siasatan masih berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *