KOTA KINABALU : Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah diminta menghubungi semua Presiden dan Setiausaha Eksekutif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mencari penyelesaian isu perkhidmatan kurang memuaskan PBT yang dibangkitkan kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, yang berakhir hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata etika kerja yang baik sepatutnya menjadi budaya kerana pekerjaan adalah satu amal ibadah.
Katanya, masalah perkhidmatan kurang memuaskan seharusnya tidak timbul kecuali perkara itu berada diluar kemampuan manusia atau “not humanely possible”.
“Memandangkan isu sebegini dan lampu jalan ni banyak ditimbulkan ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ini, saya akan mengarahkan Setiausaha Tetap untuk menghubungi semua Presiden ataupun Setiausaha Eksekutif Majlis Majlis Daerah supaya mengambil langkah dan memaklumkan kepada Kementerian, masalah masalah yang spesifik dan langkah langkah yang telah mereka ambil dan akan ambil untuk menyelesaikan.
“Saya akuilah, mengurus manusia ni paling susah. Tapi saya fikir kalau sikap kita itu baik, saya ingat apa pun masalah tu dapat diselesaikan lah.
“Cuma ada juga perkara perkara yang di luar kawalan kita, seperti kalau masalah alat ganti yang dibangkitkan ADUN Elopura (Calvin Chong), sebentar tadi, kalau tiada, tiadalah. Susah juga kita mahu buat alat ganti sendiri,” katanya.
Menurut Masidi lagi, perkara yang di dalam kawalan manusia boleh dilaksanakan namun perkara yang di luar kawalan manusia (which is humanely impossible to do), itu kita kena tunggu.
Terdahulu, isu perkhidmatan PBT yang kurang memuaskan dibangkitkan kalangan ADUN di sidang DUN Sabah sejak Isnin lalu.
Hari ini, prestasi kerja sebuah syarikat konsensi yang kurang memuaskan, dibangkitkan
Justin Wong (Warisan-Sri Tanjong).
Menurut Justin, isu lampu jalan yang tidak berfungsi di kawasannya telah dikemukakan kepada pemegang konsensi penyelenggaraan namun pihak berkenaan sukar dihubungi dan lambat bertindak.
Terdapat 3,376 unit lampu jalan di kawasan Sri Tanjong yang diselenggara Majlis Perbandaran Tawau. Namun beberapa lampu jalan tidak berfungsi dengan baik antaranya di Jalan Kuhara, Sin Onn Tiku, Jalan Masjid, Jalan Dominic dan Jalan Timur akibat kerosakan kabel bawah tanah.
“Bagaimanakah isu penyelenggaraan lampu jalan ini dapat diatasi dan ditambah baik kerana pihak khidmat ADUN sendiri hanya diberikan jawapan lewat pada waktu malam apabila masalah lampu jalan yang tidak berfungsi dikemukakan kepada pihak yang bertanggung jawab nenyelenggara kemudahan awam terbabit? sejak awal pagi lagi,” kata Justin dalam soalan tambahan beliau kepada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada sidang DUN hari ini.
Sehubungan itu Justin mahu respons pantas dari pihak konsensi penyelenggaraan.
Menurut Masidi, pihak berwajib sepatutnya bekerja sepanjang hari dan bukannya memilih waktu untuk bekerja
“Kalau kira betul, kecuali tidur, kita harus bekerja tidak kira siang atau malam, kalau ada aduan secara spesifik, bolehlah menyampaikan pesanan melalui telepon kepada saya,agar siasatan boleh dilakukan untuk tindakan segera. Saya cuba selesaikan,” kata Masidi.
“Kadang-kadang masalah sikap manusia, bukan semua manusia itu rajin. Kadang kadang ada yang lambat bertindak dan respons,” katanya.
“Jika kualiti kerja tidak dapat diterima, anda boleh menghubungi saya,” katanya lagi.
Namun menurut Justin, pihak penyelenggaraan di Tawau juga sukar dihubungi menteri kerana mereka menutup telepon sepanjang masa.
Masalah sama turut dibangkitkan Calvin Chong (Warisan-Elopura) yang menyuarakan perkhidmatan kurang memuaskan PBT di Sandakan.
“Sistem ada dan kenderaan PBT ada tapi alat ganti (spare parts) tiada,” kata Calvin.