
KOTA KINABALU: Jentera UMNO Sabah sudah siap sedia membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di Semenanjung Malaysia yang akan diadakan pada 12 Ogos depan.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sebagaimana yang diamanahkan oleh UMNO Pusat, tumpuan jentera UMNO Sabah adalah bagi membantu kempen di Selangor.
Namun sekiranya ada negeri lain yang memerlukan bantuan untuk berkempen, jentera UMNO Sabah sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.
Ketika ini, Sabah merekodkan jumlah keahlian UMNO paling ramai di negara ini dengan 583,979 orang ahli.
Menurut Bung, dengan kekuatan yang ada, jentera UMNO Sabah bersedia berjuang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) dan juga Kerajaan Perpaduan.
Katanya bilangan pemimpin dan jentera yang akan ditugaskan bagi membantu kempen PRN di enam negeri di Semenanjung Malaysia akan ditentukan kemudian.
“Bilangan pemimpin dan jentera UMNO Sabah akan diputuskan selepas perbincangan dilakukan dengan barisan pimpinan UMNO negeri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen Gombak baru baru ini.
Tinjauan ini turut disertai Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin dan beberapa Ketua UMNO bahagian dari Sabah. Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata UMNO Sabah akan melakukan usaha yang terbaik dan berkesan ketika membantu kempen PRN di 6 negeri di Semenanjung Malaysia bagi memastikan kemenangan calon-calon Pakatan Harapan dan BN dalam PRN kali ini, sebagaimana pengalaman lalu ketika membantu kempen di PRN Melaka dan Johor sebelum ini.
“Kita akan bergerak dan berkempen dari rumah ke rumah, mengurangkan kempen secara perhimpunan kerana kempen rumah ke rumah lebih efektif meskipun
Selangor ini kawasannya agak luas,” jelas Bung.
PRN di enam negeri di Semenanjung Malaysia melibatkan kira-kira 9.7 juta pemilih berdaftar. Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRN serentak di enam negeri pada 12 Ogos ini. Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Seramai 9,773,571 pemilih terlibat dalam PRN kali ini mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.