PRU-15: Rakyat Sepanggar bijak memilih pada 19 November ini – Mohd Azis


KOTA KINABALU: Pengundi di Parlimen Sepanggar sangat bijak untuk memilih wakil rakyat mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Calon Parti Warisan (Warisan) Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sepanjang tempoh seminggu berkempen, beliau berkesempatan menemui pengundi dari pelbagai latar belakang di sekitar Sepanggar.

Katanya, pengundi memberikan reaksi untuk terus memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan perkhidmatan di Parlimen Sepanggar bagi penggal kedua.

“Saya sangat menghormati pandangan serta keikhlasan mereka untuk terus menyokong serta memilih calon daripada Parti Warisan sekali lagi bagi mewakili mereka pada 19 November ini.

“Walaupun sebagai wakil rakyat pembangkang, saya tetap cekal membantu rakyat dengan menggunakan dana sendiri. Saya tidak pernah lari daripada tanggungjawab sepertimana yang diperkatakan oleh pihak lawan.

“Inilah antara luahan sendiri pengundi di Parlimen Sepanggar ketika saya bertemu mereka sepanjang tempoh seminggu berkempen.

“Saya sangat-sangat menghargai mereka, ternyata pengundi di Sepanggar mengikuti perkembangan saya dalam media sosial serta dalam perbahasan di Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui dalam program lawatan rumah ke rumah di Kampung Darau Manggatal di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, jika diberikan mandat sekali lagi untuk menjadi Ahli Parlimen Sepanggar beliau tetap fokus akan membantu rakyat di peringkat akar umbi.

“Kawasan Parlimen Sepanggar amat luas dan terletak di kawasan bandar. Sudah tentu keutamaan akan diberikan bagi menangani
masalah kesesakan lalu lintas, bekalan air serta isu penempatan setinggan,” katanya.

Mohd Azis berkata gerak kerja kempen akan dipertingkatkan dalam tempoh lima hari sebelum hari pengundian bagi memastikan fokus dapat diberikan kepada isu-isu yang dilontarkan pihak lawan.





Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *