Sedekad UMSfm Komited Menjadi Platform Penyebaran Maklumat dan Melatih Pelajar –


Berusia 13 tahun, UMSfm komited menjadi platform penyebaran maklumat universiti dan kerajaan serta melatih pelajar yang mahir dan berpengetahuan dalam bidang penyiaran radio. Sebagai sebuah radio kampus pertama di negeri Sabah, UMSfm melalui transformasi pengetahuan dan teknologi dalam memastikan ia  kekal relevan seiring dengan perubahan teknologi semasa.

Pengurus Stesen UMSfm yang juga merupakan Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Dr. Intan Soliha Ibrahim berkata, UMSfm akan terus komited dalam menambahbaik siaran UMSfm serta memperkasakan kemahiran penyiaran radio dalam kalangan pelajar komunikasi dan bukan komunikasi yang berminat menimba ilmu dalam bidang penyiaran radio. Sebagai sebuah radio kampus ketiga yang mempunyai jalinan MoU bersama dengan Jabatan Penyiaran Malaysia menerusi Radio Televisyen Malaysia, Universiti Malaysia Sabah memandang serius terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran yang diterima oleh pelajar menerusi UMSfm.

Katanya, menyedari hakikat  tersebut penubuhan radio UMSfm dilihat sangat bertepatan bagi memperkukuhkan keupayaan, mempertingkatkan citra dan reputasi, serta jaringan bukan sahaja diperingkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa. Oleh itu, siaran UMSfm telah disebar luas menggunakan podcast dan radio dalam talian.

Transformasi kandungan siaran dilakukan dengan menambahbaik slot UMSfm iaitu Pagi@kampus, Brunch Hour dan Sembang Kampus di mana slot Sembang Kampus dikendalikan oleh pelajar UMS sendiri dan dipantau oleh Penerbit Rancangan UMSfm.

UMSfm merupakan sebuah radio yang sangat unik di mana penubuhannya bukan sahaja sebagai medan yang mampu menyalurkan maklumat kepada masyarakat tetapi juga sebagai sebuah entiti yang mampu membimbing dan sekaligus melahirkan pelajar yang celik dan berpengetahuan luas mengenai penyiaran radio.

Selain itu juga, platform UMSfm Protégé diwujudkan bagi membina kemahiran serta memberi pendedahan kepada pelajar universiti kepada dunia penyiaran sebenar.

Beliau berkata, dalam program UMSfm Protégé, pelajar diberi pendedahan mengenai penyusunan playlist, penyuntingan audio, penyampaian dan juga penerbitan siaran rancangan radio. Pelajar dengan itu berpeluang melibatkan diri dengan cara bekerja sebenar dan ini merupakan kredit tambahan kepada pelajar selepas mereka bergraduasi. Ini merupakan transformasi pengetahuan dan kemahiran yang dibuat oleh UMSfm.

Radio UMSfm dengan tagline “Suara Kampus Lestari” telah dirasmikan pada 1 Julai 2010 bernaung dibawah lesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) hasil kerjasama yang dimeterai bersama. Fungsi utama radio UMSfm adalah melatih pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah dalam bidang penyiaran serta menjadi pusat penyebaran maklumat dan promosi UMS dan kerajaan kepada umum.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *