Tolak permohonan Najib keputusan betul, pendakwa raya beritahu mahkamah –


PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak, tidak boleh menyalahkan mahkamah kerana menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran rayuannya, kata pihak pendakwaan dalam kes SRC International.

V Sithambaram memberitahu Mahkamah Persekutuan, bahawa Najib dan peguam beliau sedar tarikh mendengar rayuan itu ditetapkan mahkamah, pada 29 Apr 2022.

“Peguam cara ketika itu (Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners) tidak patut ambil alih kes itu jika mereka tidak bersedia untuk meneruskannya, bermula 15 hingga 26 Ogos 2022,” katanya ketika membantah permohonan Najib menyemak kes SRC International.

Najib melantik firma Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam cara pada Julai 2022. Peguam, Hisyam Teh Poh Teik, dipilih mengetuai pasukan peguam bela beliau.

Pihak pembelaan kemudian memohon Mahkamah Persekutuan ketika itu menangguhkan pendengaran rayuan Najib, yang ditetapkan pada 15-26 Ogos itu, atas sebab mereka baru mengambil alih kes tersebut kurang daripada sebulan dan perlukan masa tiga hingga empat bulan untuk membuat persiapan.

Mahkamah menolak permohonan itu, lalu Hisyam memohon menarik diri membela Najib, namun hakim tidak membenarkannya.

Sithambaram berkata, tertuduh berhak melantik peguam diingini, namun menukar peguam haruslah dengan niat baik.

“Tetapi itu tidak berlaku. Peguam cara sebelum ini mengambil alih kes dengan tujuan semata-mata untuk meminta kes ditangguhkan,” katanya.

Beliau menambah, para peguam mesti bersedia untuk berhujah sekiranya permohonan penangguhan ditolak.

Tegasnya, peguam tidak patut memaksa mahkamah memenuhi kehendak dengan cuba menarik diri apabila diperintah berhujah.

Dalam pada itu, Sithambaram turut berkata, permohonan Hisyam memohon Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar rayuan itu “cubaan terdesak” untuk menggendalakan pendengaran.

Permohonan tarik diri itu juga ditolak dan sidang hakim kemudian menyampaikan keputusan berhubung rayuan Najib.

Najib ketika ini sedang menjalani penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan pensabitan dan hukuman bagi kes SRC International.

Tahun lalu, beliau memohon semakan ke atas keputusan mahkamah itu, atas alasan mahkamah melanggar prinsip keadilan asasi, termasuk hak untuk perbicaraan adil dan mendapatkan peguam.

Pendengaran hari ini dilakukan di hadapan sidang hakim lima anggota yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli; dan dianggotai Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan, dan Abu Bakar Jais.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *