KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan lawatan kerja ke Bioneer Corporation, Korea Selatan, baru-baru ini bagi meneroka peluang kerjasama dalam aspek penyelidikan dan inovasi.
Delegasi UMS diketuai Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (PPP), Prof. Dr. Jumat Sulaiman bersama Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abdul Karim.
Menurut Jumat, lawatan kerja tersebut membuka ruang dan peluang kepada UMS untuk meneroka teknologi Korea Selatan dalam proses penyelidikan, inovasi, pengajaran dan pembelajaran dalam bidang berkaitan di UMS.
“Delegasi UMS turut berpeluang melawat beberapa bahagian dalam Bioneer termasuklah unit rekaan, unit pembangunan system, unit pemasangan mesin dan teknologi serta unit programming.

“Kami juga diiringi seorang Pengurus Wilayah di Bioneer, Song-Hui Baek, untuk melawat koleksi inovasi, produk dan mesin berteknologi tinggi yang telah dihasilkan oleh Bioneer,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada kunjungan tersebut, delegasi UMS turut diberikan pengenalan berkaitan Bioneer oleh Pengurus Penjualan Antarabangsa, Matthew Kim.
Hadir sama, Pengarah Unit Keusahawanan FPEP, Prof. Madya Mat Salleh Ayub; Pengarah Pusat Pengajian Luar UMS, Dr. Lim Thien Sang; Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP, Dr. Sharifah Milda Amirul; Pengarah Akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) FPEP, Rosle Mohidin; Pengurus akreditasi AACSB, FPEP, Dr. Izaan Jamil; dan Ketua Pentadbiran FPEP, Jumiati Pajakai.